PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka menilai semula respons Kesatuan Eropah (EU) semasa sesi konsultasi antara Malaysia dan blok itu berhubung tindakan perundangan dalam isu sawit.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sesi itu diadakan khas susulan permohonan daripada kerajaan Malaysia sendiri.
“Ia berlangsung pada 17 Mac lepas melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang dibuat pada 15 Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini sebagai merujuk hasil sesi secara maya bersama EU itu berkaitan dakwaan diskriminasi kepada industri sawit Malaysia.
Delegasi Malaysia diketuai oleh beliau sendiri yang mewakili kementerian itu selain Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
Beberapa pegawai kanan dari pelbagai agensi lain turut serta manakala wakil kerajaan Indonesia dan Colombia juga menghadiri sesi maya tersebut sebagai negara pemerhati.
Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa konsultasi itu ialah platform bagi penjelasan dan pemahaman lanjut mengenai tindakan undang-undang oleh EU ke atas produk sawit negara.
Blok politik dan ekonomi 27 negara di benua termaju dunia itu pada 2018 mengenakan Arahan Tenaga Diperbaharui (RED) II di bawah Regulasi Delegasi terhadap bahan bakar bio minyak sawit.
Polisi EU tersebut akan menyekat pemasaran komoditi keluaran Malaysia itu menjelang 2030 atas dakwaan konon ladang kelapa sawit banyak menjejaskan teruk kelestarian alam sekitar.
“Malaysia akan meneliti semula keseluruhan maklum balas dan pencerahan yang diberikan oleh pihak EU sepanjang sesi konsultasi tersebut diadakan kelmarin,” kata Mohd. Khairuddin. – UTUSAN ONLINE