Malaysia tak layak terima vaksin percuma - Utusan Malaysia

Malaysia tak layak terima vaksin percuma

KHAIRY Jamaluddin (kanan) berbual dengan seorang penerima vaksin Covid-19 ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH:  Malaysia tidak layak menerima vaksin Covid-19 percuma dari negara luar termasuk dari India kerana dikategorikan sebagai negara berpendapatan menengah atas.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pemberian vaksin secara percuma hanya diberikan kepada negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ini menyebabkan Malaysia terpaksa membeli vaksin untuk melaksanakan program imunisasi kepada rakyat.

“Kebanyakan negara lain mendapat vaksin percuma dari China, India dan Rusia sebagai negara berpendapatan rendah.

“Berbeza dengan Malaysia yang dikategorikan sebagai upper middle income, diskaun tak dapat, percuma pun tidak, kita kena beli semua vaksin, itu situasi semasa yang kita hadapi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan Malaysia terpilih sebagai antara negara menerima bekalan vaksin percuma yang ditawarkan kerajaan India selepas Ghana menjadi negara pertama menerima vaksin dari Covax, iaitu satu skim global yang memberi vaksin Covid-19 secara percuma untuk negara-negara miskin.

Menurut Khairy, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Tinggi India bagi rundingan pembelian vaksin novavax yang mempunyai kadar keberkesanan agak tinggi selain rundingan dengan beberapa syarikat negara itu termasuklah pengeluar vaksin terbesar di dunia, Serum Institute of India. 

“Kita adakan rundingan dengan semua pihak tapi India menetap beberapa syarat penjualan bagi vaksin-vaksin tertentu. India juga ada hasrat menjual vaksin dari Bharat Biotech tetapi masalahnya, mereka belum menjalankan ujian klinikal fasa ketiga.

“Sukar untuk kita membeli kerana kita tidak mempunyai data klinikal walaupun negara itu telah menggunakan vaksin berkenaan dalam program imunisasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata,  setakat semalam, seramai 321,331 individu telah menerima dos pertama vaksin dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, dalam masa sama lebih 5.6 juta individu telah mendaftar untuk menerima dos pertama vaksin setakat ini.

“Esok, bermula dos kedua vaksin Covid-19 bagi penerima fasa pertama dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi penerima suntikan dos kedua yang pertama di negara ini” katanya.

Dalam pada itu, mengenai negeri di Pantai Timur yang mencatatkan peratusan terendah bagi pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah meminta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meningkatkan usaha menggalakkan rakyat di negeri berkenaan agar mendaftar untuk suntikan vaksin.

“Saya minta Nadma menggerakkan jentera akar umbi di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Sabah untuk menggalakkan rakyat mendaftar dengan cara menemui penduduk dari rumah ke rumah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Faktor kurangnya penduduk negeri Pantai Timur mendaftar mungkin disebabkan maklumat yang tidak tepat yang tersebar dalam media sosial,  jadi saya akan jumpa dengan ahli parlimen minggu depan dan minta sokongan mereka untuk galakkan pendaftaran terutama di Terengganu  dan Kelantan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN