Malaysia seru krisis politik Myanmar diselesaikan secara aman - Utusan Malaysia

Malaysia seru krisis politik Myanmar diselesaikan secara aman

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyeru semua pihak berkepentingan supaya bekerjasama menyelesaikan krisis politik Myanmar secara aman.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, dalam hal itu, Malaysia akan terus mendukung dialog inklusif untuk peralihan politik dan mendesak semua pihak supaya kembali ke meja rundingan, memulihkan krisis dan menghindari peningkatan ketegangan.

Pada masa sama, kata beliau, Malaysia menggesa pembebasan segera tanpa syarat pemimpin politik Myanmar, termasuk Kaunselor negara itu, Aung San Suu Kyi dan Presiden, U Win Myint yang ditahan sejak 1 Februari lalu.

“Krisis politik terkini di Myanmar hanya akan mengeruhkan lagi situasi di negara itu, terutama terhadap rakyat.

“Keadaan itu jelas bertentangan dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN iaitu bercanggah dengan nilai kepercayaan, hati nurani dan budaya, selain melindungi keamanan, keselamatan serta kemakmuran di rantau ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia amat prihatin dengan situasi tragis yang berlaku di negara itu sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lalu.

“Saya terkejut penggunaan kekerasan secara berterusan terhadap orang awam yang tidak bersenjata sehingga menyebabkan sejumlah besar kematian, cedera dan menderita di seluruh negara itu.

“Penggunaan peluru hidup ke atas penunjuk perasan secara aman tidak boleh diterima. Keadaan yang amat dikesali ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu kepemimpinan tentera di Myanmar turut digesa mengubah landasan dan beralih dengan memilih jalan menuju kepada penyelesaian yang damai.

Beliau menjelaskan, tindakan ganas hanya mengakibatkan keganasan dan masa depan negara itu berkemungkinan tergadai sehingga terjerumus ke kancah kehancuran, sekali gus tidak dapat dipulihkan.

Menurut beliau, Malaysia dan komuniti ASEAN yang besar tidak mampu melihat negara bersaudara, Myanmar berada tidak stabil di tangan individu yang berusaha mempromosikan kepentingan mereka sendiri.

Beliau turut menyokong kenyataan Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini dan seruannya untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN darurat bagi mengatasi situasi di Myanmar.

“Hanya melalui perbincangan yang terbuka, ikhlas dan jujur kita dapat meningkatkan peranan ASEAN untuk membantu Myanmar dan mencari jalan keluar daripada krisis dengan cepat.

“Malaysia mengucapkan takziah kepada semua rakyat Myanmar yang kehilangan orang tersayang dan yang menjadi mangsa akibat krisis politik semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya