Malaysia mahu penangguhan PCA, RGL, DCA ditamatkan - Utusan Malaysia

Malaysia mahu penangguhan PCA, RGL, DCA ditamatkan

MUHYIDDIN Yassin (tengah) bersama Hishammuddin Tun Hussein sewaktu menerima kunjungan hormat Dr. Vivian Balakrishnan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap beberapa sekatan berupa penangguhan pengaturan perjalanan Malaysia dan Singapura yang telah dipersetujui bersama sebelum ini dapat segera ditamatkan dengan mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.

Perdana Menteri berkata, ia merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan pengaturan perjalanan harian atau Daily Commuting Arrangement (DCA) antara kedua-dua negara.

“Kita berharap agar beberapa sekatan berupa penangguhan terhadap pengaturan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara sebelum ini dapat segera ditamatkan mengambil kira kepentingan hubungan dua hala.

“Ini merangkumi pengaturan timbal balas perjalanan RGL, PCA, dan DCA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di pejabat Perdana Menteri bersempena lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Vivian ditemani Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

Yang hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam pada itu, mengenai cadangan pengiktirafan timbal balas terhadap sijil vaksin COVID-19, Muhyiddin menyeru agar kerjasama di peringkat teknikal melibatkan kedua-dua negara dapat diteruskan dan dimuktamadkan pada masa hadapan.

Tambah Perdana Menteri, beliau dan Vivian sependapat Covid-19 telah memberi cabaran baharu kepada negara masing-masing, namun pandemik itu tidak seharusnya dijadikan halangan dalam usaha meningkatkan kerjasama sedia ada antara negara berjiran.

Mengulas pertemuan itu Muhyiddin memberitahu, kedua-dua pihak berbincang mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia-Singapura yang melibatkan bidang seperti perdagangan, pelaburan dan kesihatan.

Beliau juga telah mengambil kesempatan membangkitkan mengenai keadaan semasa di Myanmar dan hala tuju ASEAN dalam menangani krisis ini.

“Dalam pertemuan, Dr. Vivian turut menyerahkan surat jemputan daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepada saya untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura kali ke-10.

“Saya mengambil maklum cadangan pihak Singapura untuk menjadi tuan rumah sesi pemukiman itu dalam tahun ini selepas ditangguhkan tahun lalu akibat Covid-19. Di akhir perjumpaan, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk bukan sahaja meneruskan hubungan baik yang sedia terjalin dengan Singapura malah memperkukuhkan lagi tahap hubungan sedia ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya