SHAH ALAM: Ketua Polis Negara menyuarakan kebimbangan berhubung aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah yang berlaku di negara ini dan khuatir Malaysia menjadi pusat pelancongan dalam mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.
Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di bawah pimpinan Pengarahnya, Datuk Razarudin Husain dan pegawai berhempas pulas setiap minggu dalam menangani jenayah tersebut.
Menurutnya, dalam mengatasi masalah tersebut, pihaknya sentiasa menggandakan usaha terutama dalam situsai menghadapi ancaman Covid-19 yang mungkin ramai ketagihan.
Beliau berkata, antara faktor ialah termasuk penghasilan dadah di makmal yang tinggi dan menghadapi kesukaran menyeludup ke negara lain kerana negara berhampiran dengan Golden triangle (zon segitiga) dan mudah dibawa masuk ke sini dengan harga pasaran yang tinggi.
“Oleh demikian, kita menggandakan operasi di premis hiburan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang menggunakan dalam kalangan pengunjung yang hendak berhibur sambil mengambil dadah.
“Polis Diraja Malaysia khususnya JSJN tidak tidur dalam menangani sindiket dadah. Ini terbukti apabila pengusaha atau ‘tauke’ pusat hiburan marah dengan polis dan hasil ujian saringan mendapati 95 peratus positif dadah di pusat hiburan.
“Sekiranya pihak polis tidak meningkatkan tindakan, saya bimbang satu hari memang kita menjadi tumpuan dan dijadikan pusat pelancongan untuk menghisap dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, JSJN Bukit Aman telah berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah dari negara luar yang melalui negara Pantai Timur dengan tertangkapnya tiga lelaki termasuk pemilik rumah yang menjadikan premisnya sebagai stor penyimpanan syabu pada 17 Mac lalu di Kajang.
Katanya, pihaknya berjaya menahan kesemua lelaki berusia 37 hingga 42 tahun yang mana dua daripadanya bertindak sebagai pengangkut atau transporter.
“Dalam serbuan tersebut, kita merampas hampir satu tan syabu bernilai RM35.4 juta dengan penggunaan dadah ini boleh menampung seramai 4.9 juta penagih.
“Sindiket ini telah bergerak aktif sejak Januari lalu dan menyeludup syabu dari Thailand ke Lembah Klang melalui Kelantan.
“PDRM memberi jaminan bahasa akan sentiasa mengatasi jenayah penyeludupan dadah yang kini menggunakan pelbagai modus operandi termasuk cara laut, perkhidmatan kurier, berselindung di sebalik perkhidmatan lori dan trak keperluan harian yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyeludup menggunakan peralatan sembahyang dan penghantaran e-hailing,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE