IPOH: Jentera penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada semua peringkat perlu digerakkan sebagai barisan hadapan bagi menyampaikan maklumat yang betul dan tepat mengenai dasar-dasar kerajaan kepada rakyat.
Peranan tersebut sangat penting termasuk menangkis cubaan pihak tertentu memanipulasikan isu lain atau sampingan dengan tujuan memburukkan pentadbiran negara.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebab itu semua ketua-ketua bahagian diingatkan agar jentera penerangan masing-masing berperanan dengan baik.
Sehubungan itu katanya, sesi penerangan yang ekstensif perlu dilakukan kepada jentera-jentera penerangan pada peringkat negeri selain sesi dialog secara terbuka.
“Sesi penerangan juga bagi menyampaikan maklumat-maklumat terkini tentang parti selain menjelaskan perkembangan politik semasa kepada ketua-ketua bahagian dan jenteranya.
“Sebab itu kita adakan siri jelajah penerangan ini bukan kerana pilihanraya umum (PRU) semakin hampir tetapi sebagai tanggungjawab untuk memberi maklumat betul pada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar semasa hadir pada Sesi Penerangan Bersatu Perak Bersama Ketua Penerangan Bersatu di Hotel Casuarina di sini hari ini.
Program yang dihadiri kira-kira 300 wakil-wakil Bersatu seluruh negeri Perak itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Perak merupakan negeri kedua selepas Kedah pada kelmarin dan akan diteruskan ke negeri-negeri lain.
Langkah ini juga dapat mengerat, memperkuat serta mempertingkat kerjasama antara Penerangan Pusat, negeri, bahagian, dan sayap-sayap selain memberi pemahaman lebih jelas kepada ahli-ahli mengenai isu-isu dan cabaran politik semasa.
Kata Wan Saiful, langkah itu juga dilakukan selaras dengan kenyataan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada September lalu yang mengarahkan seluruh jentera parti bersedia untuk pilihan raya pada bila-bila masa.
“Kita mesti sambut seruan Presiden. Kita persediakan parti, santuni rakyat dan jelaskan mesej kita secara bersungguh-sungguh untuk memastikan kejayaan.
“Sekiranya diadakan PRU pada bila-bila masa sahaja kita sudah siap sedia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE