PUTRAJAYA: Bilangan penoreh getah di seluruh negara mencatatkan kejatuhan agak ketara manakala jumlah purata hari mereka bertugas dalam sebulan dilaporkan berkurangan sedikit.
Menurut Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Januari 2021 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini semalam, hanya 5,276 orang bekerja penoreh getah pada bulan itu.
Sekadar perbandingan, angka tersebut jatuh daripada bulan sebelumnya, Disember tahun lalu yang merekodkan seramai 5,455 orang dan 5,548 orang dicatatkan pada November 2020.
Perbandingan tahun-ke-tahun pula menunjukkan jumlah penoreh getah pada Januari 2020 ialah 6,024 orang daripada 5,994 orang (Disember 2019) dan 5,927 orang (November 2019).
Dari segi upah, mereka hanya menikmati secara purata sebanyak RM1,447 pada Januari lalu, berbanding RM1,700 pada Disember 2020 dan RM1,338 diterima pada bulan sebelumnya.
Jika dilihat pula data tahun ke tahun, DOSM melaporkan upah mereka secara puratanya ialah RM1,499 pada Januari 2020, RM1,753 (Disember 2019) dan RM1,451 (November 2019).
Bagaimanapun, gaji pekerja ladang getah didapati rendah sedikit daripada penoreh dengan hanya purata RM1,418 pada Januari lalu melibatkan sejumlah 2,258 tenaga kerja komoditi itu.
Angka tersebut merudum berbanding RM1,788 yang diterima 2,502 pekerja ladang tanaman itu pada Disember 2019 dan RM1,397 pada bulan sebelumnya melibatkan 2,556 pekerja.
Namun, agensi statistik nasional itu merekodkan jumlah hari kerja penoreh getah purata pada Januari lalu hanya 21 hari sama seperti bulan sebelumnya dan 19 hari pada November 2020.
Ia tampak kurang sedikit sahaja berbanding data tahun-ke-tahun yang mencatatkan 23 hari pada Januari 2020 manakala bulan sebelumnya 22 hari dan 21 hari pada November 2019.
Sekiranya berdasarkan negeri pula, DOSM memaklumkan penoreh getah di Selangor, Sabah dan Sarawak dikesan paling kerap bekerja dalam sebulan purata 26 hari pada Januari lalu.
Ini diikuti penoreh di Kedah, Perlis, Perak dan Negeri Sembilan sebanyak 22 hari, disusuli Pahang (20 hari), Johor (19 hari), Kelantan dan Terengganu (18 hari) serta Melaka (15 hari).
Bilangan purata hari itu didapati merosot sedikit berbanding Disember tahun lalu dengan Sabah dan Sarawak kekal tertinggi iaitu 26 hari disusuli Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Penoreh di tiga negeri itu hanya bekerja purata 23 hari pada bulan tersebut diikuti Kedah, Perlis dan Perak (22 hari), Pahang (21 hari) serta Kelantan, Terengganu dan Melaka (17 hari).
DOSM melaporkan ada 131 estet getah di negara ini kecuali Pulau Pinang dan tiga Wilayah Persekutuan, dengan keluasan 43,227 hektar dan pengeluaran 5,267 tan pada Januari lalu.- UTUSAN ONLINE