PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempertimbangkan semula keputusan melonggarkan syarat bagi permohonan jawatan konstabel kerana berkemungkinan boleh memburukkan imej institusi kepolisian.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata,pihaknya bimbang seandainya calon anggota polis “istimewa” ini terdiri daripada pelajar yang kurang baik dan tidak cemerlang semasa persekolahan mereka.
“Sepatutnya anggota polis terdiri daripada calon yang berintegriti tinggi serta memahami dan menerima status bahasa Melayu sebagai syarat penting untuk menjadi warganegara kerana kerjaya polis sangat tinggi maruahnya.
“Kelonggaran yang diberikan kepada calon bukan Bumiputera itu agak aneh kerana menolak ketetapan yang dibuat sendiri oleh kerajaan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru melaporkan PDRM melonggarkan syarat perlu memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada mana-mana calon bukan bumiputera dan Orang Asli bagi memohon jawatan konstabel.
Pelonggaran syarat bagi pengambilan khas kali ini, membolehkan mana-mana calon yang tidak memperoleh kredit memohon untuk menjadi polis.
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran itu bagi membolehkan lebih ramai bukan bumiputera menyertai PDRM pada pengambilan khas yang dibuka mulai 18 hingga 31 Mac nanti.
Mohamad Saleeh berkata, ini menggambarkan seolah-olah keputusan terdahulu tidak bijak dan sistem pendidikan kita gagal dalam memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu sedangkan kelemahan pelajar itu disebabkan kurangnya keprihatinan mereka terhadap mata pelajaran itu atau kurangnya semangat patriotik di samping kesan daripada kewujudan sekolah vernakular.
Tambahnya, keputusan tersebut menyebabkan kaum bukan bumiputera tidak lagi berusaha menguasai bahasa Melayu sedangkan itulah landasan Dasar Perpaduan Nasional yang diproklamasikan oleh kerajaan sendiri.
“Perkara ini menyambung tragedi bahasa kebangsaan yang sudah sekian lama dijadikan bahan tawar-menawar apabila timbul sesuatu permasalahan,” katanya.- UTUSAN ONLINE