Litar kereta berprestasi tinggi di Bukit Malut - Utusan Malaysia

Litar kereta berprestasi tinggi di Bukit Malut

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah litar kereta berprestasi tinggi bertaraf antarabangsa akan dibina di kawasan Bukit Malut, Langkawi, dekat sini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembinaan litar kereta tersebut adalah hasil kerjasama antara pemilik tanah tersebut iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan sebuah syarikat swasta.

Katanya, litar kereta tersebut hanya digunakan oleh kereta berkuasa tinggi yang terdapat di pulau peranginan itu.

Bagaimanapun, katanya, pembinaan litar tersebut tidak melibatkan kawasan penempatan rumah-rumah haram yang diduduki warga Myanmar di Bukit Malut.

“Di Langkawi ada kira-kira 1,600 kereta berkuasa tinggi dengan pemiliknya mendapat pengecualian cukai apabila membeli kereta tersebut di sana.

“Walaupun memiliki kereta hebat, tetapi mereka tak boleh ke mana-mana kerana kereta itu tidak boleh dibawa keluar ke tanah besar kecuali dengan kebenaran agensi tertentu dan kebenarannya pula hanya untuk tempoh beberapa bulan.

“Dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, kita sediakan satu litar untuk pemilik kenderaan berprestasi tinggi ini gunakan bagi menikmati kehebatan kenderaan mereka dengan bayaran tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar itu tidak menyatakan anggaran kos pembinaan litar kereta tersebut.

Mengulas mengenai penempatan haram di kawasan berhampiran, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri konsisten dengan permintaan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat bertindak segera dengan menyediakan penempatan semula buat penduduk di situ.

“MKN kena tentukan kaedahnya. Kalau dari segi penempatan semula ini, saya fikir ada dua plot tanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di kawasan berhampiran yang boleh digunakan untuk tujuan itu.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, lakukannya sekarang atau kita akan berdepan lebih banyak masalah pada masa akan datang. Mereka ini semakin berkembang dan sekarang ini pun, rumah mereka sudah makin ke tengah laut,” katanya.

Utusan Malaysia pada 11 Mac lalu melaporkan warganegara Myanmar kebal sehingga sampai hari ini belum ada tindakan diambil terhadap penempatan haram warga asing itu yang semakin membarah di Bukit Malut, di Langkawi.

Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri hingga mencemarkan imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Dianggarkan kira-kira 2.500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran ‘Little Myanmar’ itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya