SUNGAI PETANI: Seramai 13 penagih dadah termasuk lima wanita ditahan dalam Op Aduan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah Kuala Muda di sini, semalam.
Tiga daripada lima wanita yang ditahan itu adalah ibu tunggal manakala seorang lagi hamil tujuh bulan.
Kesemua penagih itu ditahan ketika operasi melibatkan empat anggota AADK diketuai Irdawati Abdul Hamid di Gurun, Tanjung Dawai, Tikam Batu, Kota Kuala Muda dan Sungai Petani bermula pukul 9 pagi semalam berakhir hingga 11.30 malam semalam.
Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, lima wanita yang ditahan itu berusia antara 26 tahun hingga 37 tahun.
“Kesemua wanita terbabit pernah ditahan sebelum ini dan mereka didapati gagal hadir jamin serta masih menagih dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE