KEMAMAN: Kira-kira 10 peniaga di Medan Selera Pantai Kuala Kertih di sini terpaksa berhempas-pulas membawa bekalan air bersih dari kediaman masing-masing untuk keperluan memasak dan mencuci berikutan ketiadaan kemudahan asas yang disediakan di premis perniagaan tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati situasi yang berlarutan sejak lima tahun lalu menghimpit golongan berkenaan untuk mencari rezeki kerana rata-ratanya tiada pilihan selain berulang-alik mengangkut air setiap hari.
Seorang peniaga, Johari Abdul Ghani, 50, berkata, dia dan rakan lain juga terpaksa menggunakan generator sendiri bagi menjana bekalan elektrik di premis masing-masing.
“Memang susah berniaga begini, setiap hari perlu mengangkut air lebih 10 tong besar untuk memasak, mencuci pinggan dan menyediakan minuman pelanggan.
“Dari segi elektrik pula, kemudahan itu memang tiada termasuk lampu jalan jadi kami hanya boleh berniaga sampai petang sahaja kerana persekitaran yang gelap,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Johari kesal walaupun berkali-kali aduan dibuat dibuat kepada pihak berwajib, namun hingga kini masih tiada jalan penyelesaian.
Bagi Mohd. Dani A. Bakar, 53, yang sudah berniaga lebih tiga tahun di kawasan itu, ketiadaan tandas awam menimbulkan ketidakselesaan pelanggan untuk singgah di medan selera tersebut.
“Macam mana pelanggan mahu datang jika kemudahan tidak lengkap jadi saya harap kerajaan dapat mengambil cakna bebanan kami dan segera menyelesaikan isu ini.
“Kalau kerajaan dapat menyediakan satu tapak perniagaan tetap yang dilengkapi kemudahan termasuk tandas, sekurang-kurangnya dapatlah kami berniaga dengan selesa dan pelanggan juga bertambah,” katanya.-UTUSAN ONLINE