Lima negeri berisiko bom lama - Utusan Malaysia

Lima negeri berisiko bom lama

Wartawan Mohd. Fadhli Mohd. Sulaiman menemu bual Mohammad Rafee Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini baru-baru ini. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lima negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Sabah berisiko tinggi berlaku ‘ledakan bom luar jangka’ kerana mencatatkan banyak penemuan bom-bom lama dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.

Jika tidak diuruskan dengan baik, termasuk ada ‘tangan-tangan gatal’ yang memegang bom lama tersebut tanpa pengetahuan mengenainya, sesuatu malapetaka bakal terjadi termasuk kematian.

Ini berdasarkan rekod Pusat Data Bom Malaysia (MBDC), Cawangan Persenjataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meletakkan semua negeri berkenaan menyumbang kepada penemuan bom paling tinggi.

Bagaimanapun tiada perincian berhubung lokasi penemuan di setiap negeri itu atas dasar kerahsiaan dan kepentingan awam.

Pun begitu, diyakini akan berlaku penemuan bom-bom lama dalam tempoh beberapa bulan dan tahun akan datang memandangkan lebih banyak kawasan baharu bakal dibangunkan.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Penolong Pengarah Persenjataan Kimia, Biologikal, Radiologikal, Nuklear dan Letupan (CBRNe), Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, ACP Mohammad Rafee Abu Bakar berkata, berdasarkan rekod tersebut, sebanyak 1,445 kes penemuan bom lama dilaporkan dipercayai merupakan peninggalan zaman perang di seluruh negara.

Beliau berkata, sejak 2016 sehingga setakat Januari tahun ini, sejumlah 2,568 butir bom tinggalan zaman perang atau Unexploded Explosive Ordnance (UXO) telah dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) kerana dalam setiap satu kes dilaporkan terdapat lebih daripada satu atau dua butir UXO ditemui.

Penemuan bom lama termasuk aktif dan tidak aktif itu terdiri daripada pelbagai jenis seperti hand grenade, mortar, artileri shell, periuk api, aerial bomb dan saiz paling besar dijumpai iaitu Aerial Bomb 1000 lb yang dipercayai digugurkan oleh pesawat udara semasa zaman perang sekitar tahun 1939 sehingga 1945.

“Biasanya, lokasi jumpaan bom-bom lama ini merupakan kawasan pembangunan yang sebelumnya hutan atau tidak berpenduduk. Ia kemudian dibangunkan bagi projek pembangunan, perladangan atau perindustrian dan semasa proses inilah kebiasaannya bom-bom lama dijumpai. Malah di kawasan pantai juga bom ini boleh ditemui,” katanya di sini baru-baru ini.

Pada 2016, dalam rekod tersebut, sebanyak 100 kes dilaporkan dan 157 UXO telah dimusnahkan. Ia kemudian meningkat kepada 290 kes dan 591 UXO dimusnahkan pada 2017 manakala pada 2018, kes menurun kepada 254 dan sebanyak 469 UXO dimusnahkan.

Beliau berkata, kes meningkat pada 2019 dengan 305 kes dilaporkan dan 560 UXO dimusnahkan. Tahun lalu mencatatkan rekod paling tinggi iaitu sebanyak 482 kes dan 756 UXO dimusnahkan dan setakat Januari tahun ini, sebanyak 14 kes dan 35 butir UXO telah dimusnahkan.

“Bom-bom lama ini kebanyakannya daripada tentera British dan beberapa lagi tinggalan tentera Jepun. Ada juga bom-bom lama yang dijumpai digunakan oleh pasukan keselamatan seperti pihak tentera dan polis yang digunakan semasa zaman darurat dahulu.

“Kita tidak boleh menganggap bom-bom lama ini sudah tidak aktif kerana di dalamnya masih mengandungi bahan letupan dan pada bila-bila masa sahaja boleh meledak. Jadi, apabila terjumpa bom-bom lama ini, jangan sentuh alih ke lokasi lain. Laporkan segera kepada pihak polis,” katanya.

6 Februari lalu, sebutir bom UXO seberat 25 kilogram (kg) dipercayai masih aktif ditemui penduduk di Kampung Mengkadang, Kolombong, Sabah manakala satu bom lama jenis Ariel Bom seberat 35 kg sepanjang 61 sentimeter dan masih aktif ditemui pekerja kontraktor di Labuan pada 29 Januari lalu.

Terkini (3 Mac 2021), sebutir bom lama jenis Artileri meriam 85 milimeter (mm) ditemui penduduk di Kluang, Johor selepas banjir besar melanda Januari lalu dan dimusnahkan menggunakan kaedah elektrik.

Untuk rekod, pada 2009 di Ulu Tiram, Johor, dua lelaki terbunuh dan seorang wanita parah apabila sebutir bom mortar meletup selepas diketuk kerana disangka besi buruk untuk dijual di kedai barangan lusuh. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN