Lima lelaki ditahan terlibat perarakan pamer lambang 36 - Utusan Malaysia

Lima lelaki ditahan terlibat perarakan pamer lambang 36

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima lelaki ditahan polis disyaki terlibat dalam perarakan pengebumian kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mempamerkan lambang Geng 36 sehingga tular dalam media sosial, semalam.

Kelima-lima suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu ditahan di lima lokasi berasingan kira-kira pukul 9 malam hingga 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, ini susulan dua laporan berhubung video berkenaan yang diterima pihaknya berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, laporan pertama dibuat pegawai kanan polis yang melihat video berdurasi 36 saat di WhatsApp menunjukkan lambang disyaki kumpulan kongsi gelap diletakkan di hadapan sebuah kenderaan bersama kalungan bunga.

“Laporan kedua juga dibuat pegawai kanan polis berkaitan isu sama yang menyatakan terdapat video berdurasi 58 saat dengan menunjukkan kenderaan mempunyai lambang kongsi gelap. Terdapat juga video berdurasi 14 saat yang tular menunjukkan seorang lelaki membakar mercun di tengah-tengah Jalan Tun Sambanthan.

“Dalam serbuan itu, polis merampas empat kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Toyota Camry, Honda Civic dan motosikal Yamaha LC135, satu kalungan bunga serta sejambak bunga digubah berbentuk lambang 36,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, semakan lanjut mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau manakala empat lagi tidak mempunyai sebarang jenayah.

Ujarnya, siasatan mendapati perarakan pengebumian itu diadakan ekoran seorang lelaki berusia 28 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya pada 14 Mac lalu.

“Suspek dan si mati adalah rakan sejak kecil dan si mati pernah memberi pesanan supaya membakar mercun jika dia meninggal dunia,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak terbabit aktiviti melanggar sistem perundangan negara dan menyertai sebarang pertubuhan tidak diiktiraf.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya