Lima lagi kapal degil ditahan bersauh tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Lima lagi kapal degil ditahan bersauh tanpa kebenaran

ANTARA kapal yang ditahan dalam Op Jangkar Haram Maritim Malaysia Negeri Johor di kawasan perairan Tompok Utara di Kota Tinggi, Johor. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan lima lagi kapal yang berlabuh tanpa kebenaran dalam operasi khas Jangkar Haram di sekitar perairan Tompok Utara, Kota Tinggi, dekat sini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua kapal tersebut ditahan sekitar pukul 11.50 pagi hingga 3.45 petang, semalam.

Katanya, penahanan tersebut membabitkan kapal dengan tanda nama MTMinerva Grace, New Dynasty, MT Alami Sky, MT Yolanda, dan MT Castor.

“Kesemua kapal berkenaan ditahan empat kapal peronda dan sebuah bot Maritim Malaysia terdiri daripada KM Tegas, KM Satria, KM Sibuan, KMNiah dan Bot Pengawal 31.

“Ini menjadikan jumlah kapal dagang yang ditahan dalam tempoh enam hari Op Jangkar Haram dilaksanakan adalah sebanyak 18 buah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, kesemua kapal yang ditahan itu adalah jenis tangki.

Ujar beliau, kesemua kapal yang ditahan akan dihadapkan ke mahkahmah dan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.

“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pihaknya menasihatkan agar semua jenis kapal yang ingin berlabuh di perairan negara mesti memohon dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu atau segera keluar dari perairan Malaysia jika enggan berbuat demikian.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara demi kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan perairan negara khususnya perairan Johor.

Ujarnya, sejak awal tahun hingga kini, sebanyak 36 buah kapal telah ditahan menceroboh kawasan perairan Johor bagi tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya