MELAKA: Lima buah kereta terkandas dalam kejadian banjir kilat di Taman Krubong Perdana di sini, susulan hujan turun berterusan kira-kira dua jam bermula pukul 5.30 petang tadi.
Difahamkan, kesemua pemandu dan penumpang yang berada dalam kenderaan tersebut bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri.
Seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan situasi cemas itu menerusi klip video berdurasi 27 saat yang turut tular di media sosial memaparkan kelima-lima kenderaan itu ditenggelami air hampir ke paras bumbung.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, setakat pukul 8.30 malam tadi, lima kawasan telah terjejas ekoran dilanda banjir kilat.
“Kawasan terjejas adalah Pengkalan Rama Pantai, Taman Merdeka, Taman Sri Krubong, Taman Krubong Jaya dan Kampung Tampoi.
“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN ONLINE