KOTA BHARU: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibas bapa saudaranya dengan parang sehingga pergelangan tangan mangsa hampir putus, bulan lalu.
Pembantu juruelektrik, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mengakibatkan kecederaan parah terhadap bapa saudaranya, Mohd. Nor Deraman,44, menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan dilakukan di tepi jalan Kampung Membatu, Kok Lanas di sini kira-kira pukul 10.30 malam pada 21 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd. Nor.
Mohd. Faizuan meminta supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan ekoran khuatir tertuduh mengganggu saksi pendakwaan yang juga melibatkan ahli keluarganya.
Ilias dalam rayuannya pula memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin yang rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai pembantu juruelektrik perlu menanggung kedua-dua ibu dan bapa.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan kes disebut semula pada 3 Mei depan.
Tertuduh ditempatkan di Penjara Pengkalan Chepa, di sini sepanjang tempoh tersebut. – UTUSAN ONLINE