‘Lepas’ suspek Macau Scam: Perbuatan jijik, tidak bertanggungjawab - Utusan Malaysia

‘Lepas’ suspek Macau Scam: Perbuatan jijik, tidak bertanggungjawab

ABDUL HAMID BADOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan tindakan pegawai polis di Pulau Pinang yang disyaki melepaskan suspek Macau Scam sebagai menjijikkan dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, penguat kuasa terbabit didakwa menyalahgunakan kuasa dan wujud unsur penipuan dalam hal itu.

Katanya, tindakan ‘whistleblower’ mempersoal suspek Macau Scam yang ditahan dibebaskan dengan mudah membongkar kegiatan tersebut.

“Alhamdulillah, saya amat menggalakkan ‘whistleblowing’. Ada pihak yang melaporkan dan menghantar mesej melalui WhatsApp kepada saya mempersoalkan kenapa selepas pasukan mengambil tindakan dan menangkap kumpulan berkaitan kesalahan itu, suspek dibebaskan dengan begitu mudah.

“Selepas menerima mesejnya, saya mengarahkan JIPS untuk melakukan siasatan. Ketua Polis Pulau Pinang (Datuk Sahabudin Abd Manan) juga sudah dihubungi dan apabila disiasat, memang perkara itu berlaku (melepaskan suspek Macau Scam),” katanya dalam program Bersama KPN dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar disiarkan secara langsung di YouTube dan Facebook sebuah akhbar tempatan.

Media sebelum ini mendedahkan, tiga orang awam, empat pegawai polis dan seorang kakitangan Jabatan Imigresen ditahan bagi membantu siasatan kes pegawai polis disyaki melepaskan suspek Macau Scam pada bulan lalu.

Empat pegawai polis yang ditahan adalah daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, dengan pangkat Asisten Superintendan dan Inspektor.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pendedahan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya mengenai gaya hidup mewah segelintir pegawai dan anggota yang tidak setara dengan jawatan ataupun gaji mereka memberi pengajaran serta keyakinan kepada orang awam bahawa pasukan itu tidak bersekongkol dan melindungi perkara salah.

Jelasnya, PDRM berperanan menegakkan undang-undang walaupun ada sesetengah pihak yang mempertikaikan tindakan Zamri itu sebagai ‘membuka pekung’ dan mengundang cemuhan.

“PDRM adalah milik negara. Orang ramai ada hak untuk mendapatkan perkhidmatan baik daripada PDRM. Kami dibayar gaji dan sesiapa yang menyertai PDRM adalah secara sukarela serta sanggup bertekad mahu menegakkan undang-undang. Namun apabila diberi kuasa, ada yang menyeleweng.

“Pendedahan Zamri membuka mata kita. Bermula satu tahap baharu dalam pengurusan PDRM di mana saya sendiri juga berkongsi cerita tidak baik, sebagai pengajaran dan memberi keyakinan kepada orang awam bahawa polis tidak melindungi serta bersekongkol dengan perkara jijik,” tegas beliau.

Sebelum ini, Zamri mendedahkan, terdapat segelintir pegawai dan anggota PDRM dikesan berkereta mewah dan sering keluar negara untuk bermain golf yang tidak setara dengan gaji mereka.

Katanya, JIPS sedang memantau rapi trend itu untuk mengekang salah laku dalam kalangan anggota dan pegawainya, demi menjaga integriti PDRM. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya