Lenggong Geopark beri manfaat penduduk tempatan - Utusan Malaysia

Lenggong Geopark beri manfaat penduduk tempatan

SAARANI Mohamad (tengah) dan Shamsul Anuar Nasarah (kanan) diberikan penerangan mengenai bahan yang dipamerkan di Galeri Lenggong Geopark di Lenggong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kerajaan akan membangunkan Lenggong Geopark di sini yang bukan sahaja melibatkan tapak-tapak geologi dan arkeologi malah mengetengahkan tapak-tapak yang kaya dengan kepelbagaian biologi, sejarah, budaya dan produk tempatan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, cadangan Lenggong Geopark itu akan meliputi kawasan seluas 2,391 kilometer persegi yang melibatkan empat mukim iaitu mukim Kenering, Lenggong, Temelong dan Durian Pipit.

“Saya difahamkan Lenggong Geopark ini akan menjadi Geopark Kebangsaan yang kedua di Perak selepas Geopark Lembah Kinta yang telah dimasyhurkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 25 Oktober 2018,” katanya ketika merasmikan Galeri Lenggong Geopark di Kota Tampan di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Sumber Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kenering, Datuk Mohd. Tarmizi Idris.

Menurut Saarani, Lembah Lenggong amat terkenal dengan penemuan rangka manusia pra sejarah atau lebih dikenali dengan nama Perak Man sehingga membolehkan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2012.

Beliau berkata, pembangunan Geopark adalah selari dengan dasar kerajaan negeri untuk meningkatkan kelestarian pembangunan dan pengurusan ekonomi, sosial dan sumber semula jadi.

“Adalah menjadi matlamat sesebuah geopark dibangunkan untuk memelihara dan mengekalkan sumber semula jadi di mana sebarang pembangunan fizikal hendaklah dijalankan secara lestari dan terkawal,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan geopark juga adalah selaras dengan dasar merancang pembangunan fizikal mampan dengan cara membangunkan guna tanah secara bersepadu dan memelihara khazanah semula jadi Perak agar seimbang dan berdaya tahan.

“Di bawah konsep geopark, khazanah sumber semula jadi di sesuatu kawasan dikekalkan dan dimanfaatkan untuk menjana pendapatan penduduk tempatan melalui aktiviti geopelancongan,” katanya.

Beliau berkata, ia akhirnya akan menyumbang kepada pembangunan fizikal yang mampan di samping menambah baik tahap sosioekonomi masyarakat.

“Saya dimaklumkan kos untuk pembinaan Galeri Lenggong Geopark ini ditanggung Yayasan Albukhary yang menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta.

“Bagi pihak kerajaan negeri saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Albukhary atas kemurahan hati menyediakan peruntukan tersebut.

“Semoga usaha murni Yayasan Albukhary ini akan menjadi contoh kepada badan korporat yang lain dalam membantu kerajaan mengekalkan sumber semula jadi negara pada masa akan datang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya