SUNGAI BULOH : Beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan polis di bahagian belakang tayar kereta dinaiki sepasang suami isteri yang melanggar anggota polis ketika cuba menahan mereka di Lorong Setia 4, Kuang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, menyebabkan seorang anggota polis berpangkat koperal cedera di kaki dan tangan selepas dilanggar Proton Saga dinaiki suspek.
Bagaimanapun pasangan berusia 27 dan 36 tahun itu ditahan selepas polis melepaskan tembakan sebelum kereta itu terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pada awalnya pihaknya yang menerima maklumat telah melancarkan operasi rentas khas ke atas anggota kumpulan Haslim yang terbabit dalam kejadian samun di daerah ini.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pergi ke tempat letak kereta di Tasik Biru Kuang dan menemukan kereta dinaiki pasangan terbabit.
“Kita kemudian menghampiri dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa namun suspek terus memandu dalam keadaan berbahaya menyebabkan anggota polis terpaksa membaling topi keledar di bahagian cermin tetapi mereka tetap melarikan diri.
“Semasa mengejar, polis mengarahkan mereka berhenti namun suspek enggan malah memandu melawan arus di simpang tiga lampu isyarat Tasik Biru,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Tambah Shafa’aton, sebaik tiba di Lorong Setia 4, Kuang, polis berjaya memintas kereta suspek menyebabkan ia terbabas di selekoh jalan.
“Bagaimanapun suspek bertindak mengundur keretanya menyebabkan salah seorang anggota polis dilanggar dan terhimpit bersama motosikalnya.
“Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan dua das tembakan ke bahagian tayar belakang sebelah kiri sebelum berjaya menahan mereka selepas kereta itu terbabas dan merempuh pokok,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kata beliau, pemeriksaan di dalam kereta menemukan sebilah parang, spanar boleh laras, alat pemotong dan sarung tangan.
“Polis kemudian ke rumah suspek di Jalan Kuang, Batu 19, Kuang dan menemukan topi keledar serta sepasang kasut yang sama dengan gambar suspek yang dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup ketika melakukan jenayah.
“Suspek lelaki yang juga anggota kumpulan Haslim mengaku terbabit dalam 13 kes samun di daerah ini di mana semakan juga mendapati dia memiliki lapan rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE