Lelaki reka cerita dikompaun SOP RM10,000 - Utusan Malaysia

Lelaki reka cerita dikompaun SOP RM10,000

A. ASMADI Abd. Aziz (tengah) bersama wartawan yang menerima sijil penghargaan pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Kompleks Latihan Sukan Kontinjen Perak di Ipoh. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerana enggan mengirim wang kepada ibunya, seorang lelaki sanggup berbohong memberitahu dia tiada duit kerana disaman RM10,000 atas kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di tempat awam.

Cerita lelaki itu kemudian menimbulkan rasa kasihan pada ibunya lalu mengadu kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum berita itu tular dalam laman media sosial sehingga menimbulkan kecaman warganet.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abd. Aziz, berkata, kejadian tersebut yang berlaku dua minggu lalu bagaimanapun selesai setelah individu yang memuat naik berita berkenaan di laman sosial menemui pihaknya untuk mengakui kesilapan.

Malah wakil NGO yang beribu pejabat di Kajang, Selangor itu juga tampil menemui beliau untuk membuat permohonan maaf kerana tidak merujuk kepada polis terlebih dahulu berhubung dakwaan warga emas tersebut.

“Sebenarnya perkara seperti ini boleh diselesaikan sekiranya orang awam merujuk sebarang kekeliruan berhubung apa-apa maklumat yang diterima kepada pihak polis terlebih dahulu.

“Seperti kes ini, susulan daripada dakwaan NGO tersebut kita telah membuat satu laporan polis untuk melakukan siasatan dan mendapati cerita disaman adalah sengaja direka kerana anaknya tidak mahu mengirim duit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Kompleks Latihan Sukan Kontinjen Perak di sini hari ini.

Pada majlis tersebut seramai 184 warga polis, orang awam termasuk 10 petugas media menerima surat penghargaan atas pencapaian masing-masing.

Asmadi berkata, sehubungan itu beliau menasihatkan masyarakat agar tidak menggunakan platform media sosial untuk memuat naik berita-berita yang tidak diketahui kesahihannya dan kemudian menjadi tular sehingga menimbulkan persepsi awam.

“Bagi penduduk Ipoh, mereka boleh sahaja datang ke mana-mana 25 buah balai polis di bandar ini sekiranya ada keraguan tentang apa-apa perkara berkaitan keselamatan termasuklah pematuhan SOP Covid-19.

“Penyebaran berita tular ini sebenarnya turut memberi kesan moral kepada pihak polis, jadi masyarakat perlu bersama-sama membendung berita tidak benar ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya