Lelaki miang raba punggung wanita dipenjara setahun - Utusan Malaysia

Lelaki miang raba punggung wanita dipenjara setahun

TERTUDUH Amran Abdullah dihukum penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu kerana mencabul kehormatan wanita.-UTUSAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gara-gara perbuatan tidak senonoh meraba punggung seorang wanita di tepi jalan Khamis lalu, seorang buruh kilang besi dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Amran Abdullah ,52, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan terhadap wanita berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa di tepi Jalan Hamzah, Lorong Limau Manis, di sini pada pukul 9.40 pagi 25 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.

Berdasarkan fakta kes, Amran yang menunggang motosikal datang dari arah belakang mangsa pada mulanya berhenti dan bertanyakan sama ada mangsa mahu berkahwin dengannya atau tidak.

Mangsa menolak pelawaan lelaki itu lalu cuba pergi dari situ, namun, tertuduh bertindak menyekatnya dan menyentuh punggung mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikalnya.

Terdahulu, Siti Edabayu meminta agar mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal kerana tertuduh mempunyai empat rekod lampau bersabit kes sama sebelum ini.

“Tertuduh telah melakukan kesalahan berat kerana telah mencabul kehormatan mangsa. Justeru, hukuman yang setimpal dikenakan juga mengambil kira aspek kepentingan awam,” katanya.

Siti Atikah dalam rayuannya pula memohon hukuman minimum kerana tertuduh merupakan satu-satunya individu yang menanggung kedua-dua ibu bapa yang sudah uzur.

“Tertuduh telah menerima hukuman dan kecaman masyarakat kerana kes ini sudah tular di media sosial. Ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama setahun.

Baru-baru ini, klip video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan penunggang motosikal meraba punggung wanita tular di media sosial dan susulan itu, polis berjaya memberkas suspek.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya