PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Persona dipandunya melanggar tiang projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran stesen minyak di Bandar Tun Razak dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kereta dipandu lelaki berusia 37 tahun itu turut terbakar 20 peratus di bahagian enjin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila dua kereta, Perodua Viva dan Proton Persona bergesel lalu terbabas dan melanggar tembok.
Kata beliau,berikutan itu, mangsa terperangkap di dalam kenderaan selepas keretanya terbakar.
Sementara itu, Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Fakhrulsyakia Mamat berkata, pihakna menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.02 pagi.
Susulan itu, kata beliau, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi bersama dengan kekuatan tujuh orang anggota bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta yang melanggar tiang projek pembinaan di lebih raya SUKE sebelum terbakar.
“Kebakaran berlaku di bahagian enjin dengan kemusnahan kebakaran dianggarkan 20 peratus dan terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu, sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd Fakhrulsyakia, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.28 pagi. – UTUSAN ONLINE