SUNGAI SIPUT: Tindakan agresif seorang penganggur berusia 42 tahun menolak keretanya ke dalam lombong di Taman Lintang Makmur, di sini hari ini, membawa padah apabila dia ditahan untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, lelaki yang didapati di bawah pengaruh dadah itu ditahan di lokasi kejadian pada pukul 8.15 pagi.
Katanya, menerusi siasatan awal, penganggur berkenaan mengaku melakukan perbuatan itu dan memaklumkan tiada individu lain di dalam kenderaan tersebut.
“Polis pada mulanya dimaklumkan terdapat kenderaan terbabas ke dalam lombong namun apabila sampai di lokasi, pemilik kereta yang ada di sana mengaku menolak sendiri keretanya.
“Semasa temubual dijalankan, lelaki itu berada dalam keadaan khayal dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pasukan bomba telah dihubungi bagi mengesan sama ada terdapat mangsa di dalam kereta jenis Proton Satria itu dan selaman yang dilakukan mengesahkan tiada mangsa lain terlibat.
“Kita turut menemukan dadah jenis syabu seberat 0.07 gram bersama suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohd. Azizi Zakaria berkata, pihaknya menerima maklumat daripada polis pada pukul 7.20 pagi yang memaklumkan terdapat sebuah kereta ditolak masuk ke dalam lombong.
Menurut beliau, kejadian itu disaksikan seorang lelaki yang sedang memancing di lombong berkenaan pada pukul 6.30 pagi.
Katanya, beberapa barang dipercayai milik pemilik kereta turut dijumpai di lokasi kejadian iaitu sepasang selipar dan dompet.
“Operasi mengesan kereta berkenaan segera dijalankan bagi memastikan tiada mangsa lain berada dalam kenderaan tersebut.
“Anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar telah membuat selaman pada jarak 30 meter ke tengah lombong dengan kedalaman sehingga 25 meter.
“Hasil selaman yang dilakukan berjaya mengesan kereta berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang namun tiada mangsa lain yang dijumpai dalam kenderaan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE