KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lelaki yang disyaki memberi rasuah RM5,000 kepada seorang pegawai kerajaan negeri.
Sogokan itu diberi sebagai dorongan untuk meringankan pertuduhan terhadap rakan suspek yang melakukan kesalahan menyimpan haiwan dilindungi.
Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada beruang madu, buaya, babi hutan, ular sawa dan beberapa spesies burung yang tersenarai sebagai haiwan yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 disyaki dipelihara secara tidak sah untuk digunakan bagi tujuan perubatan.
Menurut sumber, lelaki berusia 50-an itu yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira 5.30 petang semalam, di Pejabat SPRM Sabah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tangkapan tersebut.
Suspek disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 dan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin tempatan semalam. -UTUSAN ONLINE