ALOR SETAR: Tindakan kejam seorang lelaki memanah seekor anjing liar di sini dikecam netizen selepas video kejadian itu tular dalam media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang tidak berpuas hati dengan tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Seberang Jalan Putra, dekat sini.
“CCTV (kamera litar tertutup) di kedai berhampiran kawasan itu menunjukkan kejadian tersebut berlaku antara pukul 4.21 pagi hingga 5.26 pagi, 11 Mac lalu.
“Menerusi rakaman tersebut didapati seorang lelaki menaiki kereta jenis Proton Waja memegang busur panah dan memanah anjing liar itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan turut dijalankan pasukan penyiasat dari Jabatan Veterinar Kedah.
“Kes dirujuk ke Jabatan Veterinar dengan kami dimaklumkan pihak terbabit akan membuka siasatan di bawah Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Bagaimanapun, kami sedia membantu menangkap suspek sekiranya diminta oleh jabatan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE