HULU TERENGGANU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir di sini kira-kira pukul 5.50 petang semalam.
Mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, dari Kampung Sungai Buaya, Dungun yang menginap di sebuah rumah rakit bersama keluarganya dikatakan berenang ke sungai berkenaan tanpa memakai jaket keselamatan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kejadian lemas itu disaksikan oleh isteri mangsa, Syarifah Ramli di samping sepupunya, Ahmad Farud Rahmad dan anak pemilik rumah rakit tersebut.
Katanya, sebelum kejadian isterinya telah melarang mangsa mandi tanpa memakai jaket keselamatan.
“Tidak berapa lama kemudian saksi melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot.
“Anak pemilik rumah rakit itu yang berusia 19 tahun cuba memberikan pertolongan tetapi dia juga hampir lemas setelah mangsa memaut di belakangnya lalu mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Adli berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan 46 orang termasuk pihak polis, bomba dan orang awam selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.20 petang.