KEMAMAN: Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kecurian beg milik pekerja di sebuah kedai serbaneka di Jalan Jakar, Cukai di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa yang merupakan jurujual di premis berkenaan mendapati beg silangnya yang disimpan di bilik stor hilang dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu yang berusia 27 tahun itu mendapati lelaki tidak dikenali berkenaan masuk ke bilik tersebut dan mengambil barangannya.
“Kita sedang mengesan lelaki yang memakai baju t berwarna biru dan berseluar pendek seperti dalam rakaman CCTV,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hanyan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Azhar Ali di talian 013-6060712 bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE