Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT: Seorang lelaki bertindak mengasari pekerja di sebuah medan selera kerana berang akibat ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di Kampung Koh dekat sini petang semalam.
Berikutan itu, dua pekerja tersebut yang berusia 16 dan 17 tahun membuat laporan di Balai Polis Sitiawan sebelum suspek ditahan ketika sedang minum di medan selera tersebut kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 38 tahun berada di medan selera tersebut tanpa memakai pelitup muka kira-kira pukul 2.44 petang.
Menurutnya, dua pekerja di medan selera itu kemudian menegur suspek dan menasihatinya agar memakai pelitup muka.
“Suspek yang berang dengan teguran itu kemudian membaling puntung rokok ke arah pekerja penjaga pintu masuk.
“Dia turut menendang beberapa kali kerusi pekerja yang sedang duduk selain turut mengasari pekerja lain yang cuba menenangkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan serius dialami oleh mangsa yang terlibat.
Menurut Nor Omar, suspek yang juga seorang penganggur disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai boleh merebakkan penyakit berjangkit iaitu Covid-19.
Katanya, suspek ditahan kerana pihak berkuasa dan orang ramai tidak tahu sama ada suspek positif atau negatif Covid-19 dan arahan Ketua Pengarah Kesihatan mewajibkan penggunaan pelitup muka di tempat awam.
“Suspek telah masuk kawasan kedai terang-terangan tidak memakai pelitup muka,” jelasnya.
Beliau berkata, suspek direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE