PUTRAJAYA: Permohonan untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 terus meningkat apabila 7,161,178 individu berbuat demikian setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah itu merangkumi 29.52 peratus yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana direkodkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
“Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 bermula dalam masa terdekat. Daftar untuk vaksinasi sekarang melalui MySejahtera, melalui laman web https://www.vaksincovid.gov.my/daftar/ atau menghubungi talian 1-800-828 ,” katanya menerusi Twitter beliau hari ini.
Daripada jumlah pendaftaran menerusi MySejahtera itu, Selangor merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 1,979,666 orang diikuti Johor (920,460), Kuala Lumpur (607,531), Sarawak (574,339), Perak (520,616) dan Pulau Pinang (504,688).
Selain itu, Kedah 383,966 orang, Sabah (323,556 orang), Negeri Sembilan (300,202 orang), Pahang (291,699 orang), Melaka (231,460 orang), Kelantan (209,991 orang) dan Terengganu 193,911 orang.
Sementara itu, bagi negeri populasi kecil merekodkan Putrajaya 46,772 orang berdaftar; Perlis 48,862 orang dan Labuan 23,459 orang.
Bagi perkembangan jumlah pemberian kedua-dua dos vaksin Covid-19 setakat semalam pula adalah sebanyak 566,200 dengan dos pertama berjumlah 448,187 dan dos kedua pula 118,013.
Dr. Adham berkata, Selangor merekodkan pemberian vaksin tertinggi dos pertama dengan 63,675 individu diikuti Perak (49,545 individu) Sabah (42,018 individu ) Kuala Lumpur (39,622 individu ) dan Sarawak (36,972 individu ).
Katanya, jumlah di Pahang pula mencatatkan seramai 33,463 individu, Johor (34,000 individu), Kedah (26,316 individu ), Pulau Pinang (31,802 individu ), Kelantan (19,812 individu ), Negeri Sembilan (22,212 individu) dan Terengganu (20,503 individu).
“Sementara itu di Melaka seramai 11,672 individu menerima vaksin, Perlis (9,533 individu), Putrajaya (4,695 individu) dan Labuan 2,347 indvidu,” katanya.
Dalam fasa pertama program imunisasi yang bermula 24 Februari lalu, sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan disasarkan menerima vaksin.
Fasa kedua pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 iaitu warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang.
Bagi fasa ketiga pula, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022.