GEORGETOWN: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang menjangkakan prospek ekonomi untuk industri perhotelan negeri ini akan semakin malap sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dilaksanakan selepas 4 Mac ini.
Presidennya, K. Raj Kumar berkata, lebih 40 peratus hotel dan resort di Pulau Pinang akan menutup operasi sekiranya kerajaan tidak membenarkan pelancong domestik merentas negeri bulan ini.
Katanya, impak PKP dan pandemik Covid-19 terhadap sektor pelancongan di Pulau Pinang amat teruk sehingga menyaksikan 21 buah hotel terpaksa ditutup sementara manakala sembilan lagi tutup sepenuhnya tahun lalu.
“Dijangka 30 hingga 40 peratus hotel dan resort di negeri ini akan menutup operasi sekiranya PKP terus dilaksanakan, jadi kami mohon kerajaan bantu kami dengan membenarkan pelancong merentas negeri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin Covid-19.
Menurut Raj Kumar, pihak-nya telah berulang kali menyuarakan pandangan kepada kerajaan supaya membenarkan rentas daerah dan negeri yang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) namun masih belum diperoleh.
“Pemanjangan tempoh PKP hanya akan membunuh industri perhotelan, siapa pelanggan yang akan datang ke hotel jika rumah mereka dalam radius 10 kilometer sahaja dari hotel.
“Kami mohon jangan bunuh industri perhotelan, dengarlah suara kami pekerja industri ini yang telah lama tertekan sepanjang tempoh pandemik ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga seharusnya menjadikan Singapura sebagai contoh dalam memastikan industri perhotelan di negara itu terus berkembang walaupun ketika pandemik Covid-19.
“Pekerja-pekerja hotel di Singapura menjadi antara yang terawal menerima vaksin bagi memastikan orang ramai bebas daripada risiko jangkitan ketika berada di hotel.
“Kaedah ini wajar dicontohi oleh kerajaan kerana secara tidak langsung dapat menyelamatkan industri perhotelan daripada terus terhimpit akibat kesan pandemik,” katanya.- UTUSAN ONLINE