Lebih 27,000 imam, bilal, noja terdedah Covid-19 - Utusan Malaysia

Lebih 27,000 imam, bilal, noja terdedah Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gerakan Belia 4B Malaysia menyeru kerajaan memberi sedikit keutamaan kepada 27,604 imam, bilal dan noja di seluruh negara bagi menerima awal imunisasi Covid-19.

Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Mohd. Shahril Mazuki mendakwa, petugas terlibat amat mudah terdedah kepada risiko penularan wabak tersebut selain ramai dilaporkan sudah dijangkiti.

“Justeru, kami berpandangan amat wajar mereka ini didahulukan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 3 pada bulan depan,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Beliau yang juga Pengerusi 4B Terengganu berkata demikian sebagai merujuk kelonggaran kerajaan membenarkan solat sunat tarawih sepanjang Ramadan yang bermula bulan depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob namun berkata, jemaah masih perlu akur prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri.

Ketika ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merekodkan 12,059 imam serta 13,322 bilal dan noja yang bertugas sepenuh masa di sejumlah 6,465 buah masjid seluruh negara.

Sementara itu, agensi induk hal ehwal Islam nasional tersebut mencatatkan 1,197 imam serta 1,026 bilal dan noja berkhidmat secara tetap di sejumlah 18,257 buah surau di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahril berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) wajar mempertimbangkan golongan tersebut dalam fasa PICK berikutnya sebelum Ramadan.

“Sebahagian besar mereka pula berusia bawah 65 tahun, walhal jika mengikut jadual PCK itu, kelompok ini hanya akan menerima vaksin pada Fasa 3 awal Mei depan,” jelas beliau lagi.

Keadaan itu ujarnya, boleh mencetuskan kluster baharu apatah lagi peranan penting imam, bilal dan noja seumpama petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan masyarakat.

Sehubungan itu katanya, JKJAV harus melihat kepentingan golongan tersebut yang rentan berisiko demi memastikan keselamatan jemaah masjid dan surau berada pada tahap terbaik.

Tambahan pula, umat Islam dijangka teruja ‘membanjiri’ masjid atau surau bagi menunaikan ibadat tarawih selama sebulan kerana tidak berpeluang untuk berbuat demikian tahun lepas.

“Oleh itu, imunisasi awal amat kritikal bagi meminimumkan peluang jangkitan Covid-19 dalam komuniti dan mengekang ramai orang tidak berdosa menjadi pesakit,” kata Mohd. Shahril.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya