GEORGETOWN: Larangan aktiviti penyembelihan di premis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang sepatutnya bermula 1 Mac lalu ditangguhkan hingga Mei ini bagi memberi lebih banyak masa kepada peniaga melakukan persediaan.
Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang berkata, penangguhan itu dipersetujui selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengadakan mesyuarat bersama Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang Februari lalu.
Katanya, garis panduan penjualan ayam, itik dan unggas bersih sebagai panduan amalan kepada peniaga diguna pakai mulai 1 Mac yang mana peti sejuk perlu disediakan di gerai-gerai menjual ayam.
“Bagaimanapun selepas mengadakan pertemuan dengan peniaga, MBPP bersedia menangguhkan penguatkuasaan garis panduan ini sehingga hujung Mei ini agar mereka dapat bersedia,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan MBPP, di sini hari ini.
Sebelum ini Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang mendakwa bekalan ayam di bahagian pulau di negeri ini bakal dimonopoli sebuah syarikat berpangkalan di Singapura bermula Mac.
Bagaimanapun, MBPP menjelaskan tiada paksaan bagi peniaga-peniaga ayam untuk mendapatkan bekalan ayam bersih dari pusat penyimpanan dan pengedaran ayam di Batu Lancang seperti yang didakwa.
Menurut beliau, daripada 177 pelesen (peniaga ayam) sebanyak 114 pelesen telah bersetuju dengan garis panduan berkenaan menerusi tinjauan yang dijalankan oleh pegawai MBPP. – UTUSAN ONLINE