Laporan Utusan Malaysia, Kosmo! bantu SKMM bertindak atasi masalah capaian internet - Utusan Malaysia

Laporan Utusan Malaysia, Kosmo! bantu SKMM bertindak atasi masalah capaian internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil beberapa tindakan dalam usaha menyelesaikan masalah capaian aduan Internet yang dihadapi penduduk di beberapa kawasan. 

SKMM dalam kenyataan menyebut, sebuah menara komunikasi di Kampung Orang Asli Sungai Belankan Tanjong Sepat, Kuala Langat, Selangor, akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dijangka bermula suku kedua tahun ini.

Katanya, penyelesaian jangka panjang itu, susulan laporan akhbar Kosmo! yang membangkitkan kesukaran seorang pelajar remaja perempuan Orang Asli suku Mah Meri untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan capaian Internet lemah kerana rumah yang terletak jauh terpencil di penghujung kampung. 

“Penyelesaian kedua di Kampung Orang Asli Lakai Jelebu, Negeri Sembilan melibatkan kesukaran sekumpulan pelajar Orang Asli untuk mengikuti PdPR akibat ketiadaan capaian Internet yang dilaporkan Utusan Malaysia

“Siasatan mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai capaian Internet 4G maka bagi memastikan masalah itu tidak berlaku, penggunaan teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) yang dijangka siap hujung tahun ini,” katanya hari ini. 

Kenyataan itu menyebut, masalah capaian internet di Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi, Johor yang juga disiarkan akhbar Kosmo! baru-baru ini sudah diatasi dengan penyelesaian jangka pendek, iaitu memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama tahun ini. 

Katanya, bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan itu. 

“Penyelesaian keempat, mengenai kesukaran tiga adik-beradik untuk mengikuti sesi PdPR di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat Pontian, Johor kerana capaian Internet lemah yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia, akan diselesaikan segera. 

“Buat permulaan adalah penyelesaian jangka pendek, pihak Celcom dan U Mobile telah melakukan kerja-kerja penambahbaikan pada pencawang pada 24 Februari lalu bagi meningkatkan kualiti liputan 4G yang dijangka siap pada minggu ketiga bulan Mac ini,” katanya. 

Jelasnya, penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun 2021.

“Melihat kepada empat permasalahan itu, SKMM akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil dan sekiranya perlu, mengambil langkah susulan agar masalah capaian Internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan Internet dinikmati semua rakyat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN