SHAH ALAM: Hasrat bekas pekerja syarikat logistik, Azhari Badiauzaman pulih seperti sedia kala daripada kecederaan bahu kanan yang ditanggungnya hampir 10 tahun bakal tercapai.
Ini susulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hadir ke rumahnya bagi menghulurkan bantuan yang mampu diberikan mengikut bidang kuasa mereka.
Ketua Cawangan (Faedah) Perkeso Selangor, Ahmad Kamal Abdullah berkata, pihaknya hadir selepas membaca kisah Azhari, 41, yang diterbitkan Utusan Malaysia, minggu lalu.
“Kami menawarkan Azhari jalani rawatan fisioterapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso, Melaka secara intensif, selain terdapat banyak kemudahan yang disediakan.
“Namun mengambil kira faktor ibunya, Hadiah Mohamad Sarif yang memerlukan bantuannya untuk menjalankan perniagaan, kami tawarkannya untuk menjalani rawatan tersebut di Ara Damansara Medical Centre (ADMC) dan dia bersetuju dengan tawaran tersebut,” katanya ketika ditemui di kediaman Azhari di Seksyen 17 di sini semalam.
Sementara itu Azhari berterima kasih kepada Perkeso kerana sudi membantu dirinya yang amat memerlukan bantuan.
“Saya juga akan mengikuti program yang akan dirancang Perkeso serta ADMC untuk pulih semula agar dapat kembali bekerja bagi menyara keluarga,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, selepas kemalangan dan mengalami cacat bahu sejak 10 tahun lalu, Azhari hanya membantu ibunya menjual nasi lemak dan kuih-muih di Seksyen 17 di sini bagi menyara keluarga mereka.