Laporan samun palsu elak kena denda JPN jadi alasan 'trending' - Utusan Malaysia

Laporan samun palsu elak kena denda JPN jadi alasan ‘trending’

SOFFIAN SANTONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Laporan palsu membabitkan kejadian samun bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disebabkan kehilangan atau keciciran kad pengenalan menjadi alasan ‘trending’ pengadu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan polis mendapati 80 peratus alasan yang diberi pengadu adalah berkaitan bimbang dengan tindakan yang bakal dikenakan selain takut dimarahi ibu bapa atau saudara.

Selain itu menurutnya, laporan berkaitan kejadian samun palsu juga dibuat atas alasan bimbang dengan majikan setelah pengadu menggunakan wang yang diamanahkan bagi tujuan lain.

“Setakat Februari tahun ini, sebanyak 24 kes samun yang berlaku di tepi jalan dan kejadian ragut melibatkan wang tunai, barang berharga serta dokumen penting dilaporkan di Daerah Timur Laut.

“Hasil siasatan lanjut, sebanyak 15 laporan polis telah disahkan palsu iaitu
kejadian samun yang dilaporkan hanyalah rekaan semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berbanding tahun lalu, sebanyak 16 laporan palsu dikesan daripada 27 kes melibatkan kejadian samun di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, Soffian menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang laporan polis yang tidak benar atau palsu bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan tersebut jelas beliau, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN