Laksana projek RM260 juta secara undian - Utusan Malaysia

Laksana projek RM260 juta secara undian

Abd. Gapar Lambak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan dicadang supaya melaksanakan projek-projek di bawah bantuan khas tambahan bernilai RM260 juta yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 secara undian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Pahang, Abd. Gapar Lambak berkata, cara sedemikian perlu dilaksanakan demi memastikan projek-projek menerusi peruntukan khas berkenaan sampai kepada golongan sasar, kontraktor G1 hingga G4.

“Dengan tawaran kerja secara undian, PKMM juga berharap agar peruntukan khas berkenaan tidak dimanupulasikan pihak tidak berkaitan.

“Jika perkara sedemikian berlaku, kita bimbang ia tidak tercapai hasrat kerajaan untuk membantu golongan kontraktor G1 hingga G4,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan khas berjumlah RM260 juta akan diagihkan secara sama rata untuk melaksanakan projek-projek kecil yang akan dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.

Tengku Zafrul berkata, ia selaras pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) oleh Perdana Menteri pada 17 Mac lalu.

Abd. Gapar berkata, PKMM juga berharap agar harga projek yang bakal ditawarkan mengambil kira keadaan semasa di mana kenaikan harga bahan-bahan binaan yang meningkat ketika ini sehingga 30 peratus.

Jelasnya, tawaran projek itu juga perlu mengikut jadual kadar harga Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terbaharu agar ia relevan dan praktikal dilaksanakan.

“PKMM berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan menerusi bantuan khas tambahan ini. Ia sudah pasti akan membuka sedikit sebanyak peluang kepada kontraktor kecil yang turut terlibat dengan kesan buruk akibat penularan pandemik Covid-19.

“Diharapkan agar projek yang akan diperolehi nanti dapat memulihkan ekonomi mereka dan membantu pergerakan keadaan ekonomi setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN