PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan terlibat dalam industri perkayuan domestik bagi melahirkan lebih ramai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Langkah itu dibuat menerusi penyediaan ramai pelapis pekerja mahir sektor tersebut melalui Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, program sulung anjuran Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) itu turut mendedahkan mahasiswa kepada peluang awal kerjaya.
“Ini juga membantu industri ini untuk mendapatkan jurutera lapangan dalam kalangan graduan tempatan sejajar platform Latihan, Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET),” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran program dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MTC, persatuan kayu-kayan serta IPT di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Pengerusi MTC, Mazli Zakuan Mohd. Noor; Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili dan lapan wakil IPT terlibat.
Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, kerjasama itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap masa depan pelajar dan komited membantu sektor perkayuan seluruh negara.
“Ia juga dapat mengurangkan kebergantungan tenaga asing dan menjana peluang pekerjaan baharu selaras iltizam kementerian menggalakkan penglibatan warga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini ketika berucap turut mengucapkan terima kasih kepada MTC yang membantu memperkasakan modal insan bagi mendepani ketidaktentuan cabaran ketika ini.
Usaha itu juga sejajar pemerkasaan TVET dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan strategi kementerian beliau yang menekankan kebolehpasaran kursus berkaitan Revolusi Industri 4.0.
“Penganjuran program sebegini dilihat sebagai situasi menang-menang dengan pelajar dapat pendedahan dan pemain industri berpeluang merekrut potensi kerjaya graduan,” jelasnya.
Kementerian itu ujarnya, turut menggalakkan penyertaan pihak industri dalam memberikan sumbangan peluang latihan serta menambah baik modul pengajaran dan pembelajaran amali.
Noraini malah berkata, program sedemikian dapat membantu kerajaan dalam menangani isu ketidaksepadanan kemahiran dan melahirkan tenaga kerja bersesuaian kehendak industri.- UTUSAN ONLINE