PETALING JAYA: Tindakan seorang wanita warga China yang memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol menjadi punca kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bunga Mawar 5A, Taman Muda, Ampang, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, membabitkan lima kenderaan jenis Proton Wira, Mazda, Honda City, Chevrolet dan Proton Saga.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dipandu wanita warga China berusia 54 tahun itu melanggar empat kenderaan lain.
“Kemalangan menyebabkan kerosakan kepada semua kenderaan namun tidak membabitkan kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu suspek di Jalan Bunga Cempaka 2 hilang kawalan lalu melanggar Mazda yang diparkir di bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Farouk berkata, suspek kemudian mengundurkan keretanya lalu melanggar Honda City yang di parkir di bahu kanan jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Honda City teranjak ke hadapan dan melanggar kereta Chevrolet yang diparkir di hadapannya.
“Suspek seterusnya memandu ke arah Jalan Bunga Mawar 5A namun sebaik sampai di jalan itu, dia sekali lagi hilang kawalan lalu melanggar Proton Saga yang diparkir di tepi kanan jalan dan sebatang tiang lampu di tepi kiri jalan,” jelasnya
Dalam pasa itu, kata Mohammed Farouk, suspek kemudian mengundurkan kereta hingga terhenti di dalam garaj yang terdapat di tepi kiri jalan.
“Ujian kandungan alkohol dalam darah suspek dijalankan menggunakan mesin jenis EBA-II dan hasil ujian mendapati tahap kandungan alkohol pemandu melebihi had yang ditetapkan.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sebanyak RM5,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dipenjara selama tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, suspek akan direman sehingga 27 Mac ini dan saksi yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093.-UTUSAN ONLINE