ALOR SETAR: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki menerima suapan daripada pengusaha-pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Jamaludin Elias selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Alor Setar dekat sini.
Sumber SPRM memberitahu, anggota berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.06 pagi semalam sewaktu hadir ke pejabat SPRM Alor Setar bagi memberi keterangan.
“Anggota terbabit disyaki menerima suapan daripada pihak berkaitan sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori milik syarikat mereka yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Penahanan anggota tersebut merupakan rentetan daripada tangkapan dilakukan terhadap 44 individu terdiri daripada 32 pegawai dan anggota JPJ dalam Op Sukat yang dilaksanakan secara besar-besaran di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Perlis,” katanya.
SPRM dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan, pegawai dan anggota JPJ ditahan dalam operasi tersebut terdiri daripada pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula bertindak sebagai proksi.
Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan melibatkan kira-kira RM1.64 juta.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan anggota terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya.