Kursus Pasca Perkahwinan hanya untuk pasangan bermasalah - Utusan Malaysia

Kursus Pasca Perkahwinan hanya untuk pasangan bermasalah

Mariani Md Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kursus Pasca Perkahwinan tidak perlu dilaksanakan kepada semua pasangan yang sudah berkahwin, namun, ia wajar dilaksanakan terutamanya bagi pasangan yang mengalami masalah dan berlaku keganasan rumah tangga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Psikologi, Datin Dr. Mariani Md. Nor, ini kerana tidak semua pasangan menghadapi konflik rumah tangga yang boleh membawa kepada keganasan rumah tangga.

“Jelas terlalu banyak kes keganasan rumah tangga yang telah dicatatkan terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan.

“Oleh itu, adalah sangat wajar Kursus Pasca Perkahwinan dilaksanakan bagi mereka yang pernah melalui keganasan terutama pasangan yang telah berpisah kemudian rujuk semula.,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, pasangan yang sudah setahun atau dua tahun berkahwin juga tidak perlu kecuali mereka yang telah melalui situasi melibatkan keganasan rumah tangga walaupun baru satu tahun berkahwin.

“Konsepnya adalah keharmonian rumah tangga yang terganggu dan melibatkan bantuan pihak ketiga sama ada kaunselor, pejabat agama atau lain-lain pihak yang berkaitan,” katanya.

Tegasnya, mereka telahpun mengikuti kursus pra perkahwinan yang sepatutnya mereka fahami sebelum berkahwin kerana perkahwinan bukan mainan di meja judi.

“Jika kursus ini dilaksanakan, adalah sangat wajar untuk memikirkan cara bagaimana untuk tarik mereka yang hadir supaya lebih memberi perhatian dan tumpuan.

“Jelas mana-mana yang hadir mengikuti sebarang kursus, mereka hanya menumpukan sepenuh perhatian pada sejam yang pertama sahaja dan selepas itu sudah hilang tumpuan,” katanya.

Dr. Mariani turut mencadangkan supaya kursus tersebut dijalankan dengan adanya penjarakan masa dan tidak hanya secara seharian mendengar sahaja.

“Jika penceramah berjaya beri ilmu penting dengan kaedah yang dapat kuasai perhatian, insya-Allah mudah mereka fahami dan lebih seronok mengikuti kursus tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya