Kuota tambahan haji: Tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi - Utusan Malaysia

Kuota tambahan haji: Tunggu pengumuman rasmi Arab Saudi

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tengah) bersama pelajar yang menerima sumbangan komputer riba di Ipoh. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung jumlah sebenar kuota jemaah haji yang dijangka diketahui Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tambahan 10,000 kuota daripada kerajaan Arab Saudi yang diumumkan kelmarin menjadikan jumlah jemaah haji dari negara ini kira-kira 40,000 orang.

“Kita jangkakan dapat keputusan rasmi mengenai kuota tambahan untuk jemaah Malaysia melaksanakan ibadah haji dari kerajaan Arab Saudi pada Ramadan ini kerana apabila memasuki Syawal, itu sudah masuk musim haji, jadi sudah tidak sesuai untuk memberikan keputusan pada ketika itu.

“Bagaimanapun kita tunggulah, mereka (kerajaan Arab Saudi) mengambil perkiraan yang amat banyak untuk melihat dari segi terutamanya kesihatan, keamanan, keselamatan yang jadi agenda utama. Masalah bukan sekadar tempat tapi jemaah haji itu sendiri.

“Tabung Haji akan ambil cara positif dengan membuat persediaan mengikut kadar kemampuannya jika diizin dan dibenarkan (menunaikan haji) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Bangunan Tabung Haji negeri di sini hari ini.

Zulkifli bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bermurah hati memberi kelebihan kepada jemaah Malaysia.

“Kalau ikut bilangan jemaah biasa kira-kira 31,000 dan ditambah dengan 10,000 kuota tambahan, bermakna dalam 40,000 jemaah, bagaimanapun kita doa dulu sebab secara rasmi (pertambahan kuota haji) belum sampai lagi pada kami,” katanya.

Mengenai cadangan agar jemaah warga emas diberi keutamaan untuk menunaikan haji, Zulkifli mengakui perkara itu ada dibahaskan.

“Cadangan ini memerlukan pertimbangan yang amat banyak, kita akan tengok semua dari segi kemampuan kesihatan jemaah (warga emas). Perkara ini ada pra syaratnya yang telah ditetapkan Tabung Haji, kita akan tengok perkara ini,” katanya.

Sementara itu pada majlis tersebut, seramai 218 pelajar asnaf UTM dari tiga negeri iaitu Johor, Perak dan Pahang menerima bantuan komputer riba berjumlah RM750,000 dari Tabung Haji (TH).

Sumbangan tersebut merupakan inisiatif TH di bawah Program Iqra’ di mana UTM merupakan antara 14 universiti yang menerima bantuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya