Kumpulan hak asasi manusia dibenar cabar keputusan usir pelarian - Utusan Malaysia

Kumpulan hak asasi manusia dibenar cabar keputusan usir pelarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua kumpulan hak asasi manusia hari ini berjaya memperoleh kebenaran untuk mencabar tindakan Jabatan Imigresen menghantar pulang pelarian Myanmar meskipun terdapat perintah sekatan sementara yang menghalang mereka berbuat demikian.

Kebenaran itu diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Datuk Seri Mariani Yahya selepas mendengar hujah pihak-pihak terlibat melalui aplikasi Zoom.

Dengan keputusan hari ini juga, proses penghantaran pulang baki 114 orang pelarian Myanmar ditangguhkan sehingga cabaran terhadap keputusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diputuskan oleh mahkamah.

Peguam, New Sin Yew yang mewakili Asylum Access Global dan Amnesty International bersama-sama Datuk Ambiga Sreenevasan dan Datuk Gurdial Singh Nijar ketika dihubungi berkata, Mahkamah memberikan kebenaran itu atas selepas menolak hujahan Jabatan Peguam Negara yang mewakili JIM bahawa badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak mempunyai sebarang locus standi (Hak di sini undang-undang) untuk memfailkan permohonan tersebut.

“Mahkamah menyatakan bahawa NGO terbabit memainkan peranan penting dalam masyarakat dalam mempertahankan hak mereka yang lemah. Mahkamah turut mendapati permohonan yang difailkan bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan,”ujar peguam terbabit.

Mahkamah juga menetapkan 23 Mac ini untuk pengurusan kes semakan kehakiman itu. 

Pada 22 Februari lalu, dua NGO terbabit memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menghalang penghantaran pulang 1200 orang pelarian Myanmar ke negara asal.

Kumpulan NGO tersebut menamakan Ketua Pengarah Imigresen, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Pada 24 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan perintah larangan sementara (interim) yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar lagi pendatang rakyat Myanmar pulang ke negara asal namun pada tarikh berkenaan seramai 1,086 orang pelarian telah dihantar pulang.

Antara mereka yang dihantar pulang didakwa daripada etnik minoriti, pelarian termasuk kanak-kanak dan pencari suaka.

Menurut permohonan semakan kehakiman yang difailkan, kumpulan NGO terbabit mendakwa penghantaran balik 1200 pelarian tersebut adalah bertentangan dengan prinsip non-refoulement. 

Prinsip non-refoulement ialah prinsip asas undang-undang antarabangsa yang menghalang mana-mana negara menghantar pulang pencari suaka ke negara asal yang boleh menyebabkan individu terbabit didakwa berdasarkan kaum, agama, warganegara, keanggotaan dalam organisasi tertentu atau pendapat politik.

Responden juga didakwa gagal mengambil kira bahawa pelarian yang dihantar pulang terdiri daripada kumpulan minoriti muslim yang diancam tentera Myanmar, individu-individu yang telah diiktiraf Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian.

Keputusan kesemua responden menghantar 17 kanak-kanak bawah umur yang mana ibu bapa mereka atas salah seorang dari mereka masih berada di negara ini adalah salah di sisi undang-undang dan tidak rasional.

“Responden-Responden mempunyai tanggungjawab di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 untuk melindungi dan menjaga kanak-kanak. Responden-Responden telah gagal mengambil kira perkara-perkara yang relevan seperti kebajikan, ancaman dan bahaya yang akan diakibatkan kepada mereka sekiranya mereka dihantar balik ke Myanmar dan mereka mungkin tidak akan berjumpa dengan ibu bapa mereka untuk selama-lamany,”ujar permohonan tersebut.

Sehubungan itu, Asylum Access Global dan Amnesty International selaku pemohon antaranya memohon perintah certiorari untuk membatalkan keseluruhan keputusan responden-responden untuk menghantar pulang kesemua pelarian terbabit 

Kumpulan Hak asasi manusia itu juga memonhon perintah agar kesemua responden dihalang daripada menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar yang namanya disebut dalam permohonan terbabit 

Turut dimohon ialah perintah, arahan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dan juga kos. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya