KUALA LUMPUR: Menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) yang dipegang wakil rakyat UMNO perlu meletak jawatan dengan segera susulan keputusan parti menamatkan kerjasama dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tindakan tersebut adalah perlu sebagai bukti kesetiaan kepada UMNO yang ‘ditindas’ oleh parti yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sepatutnya. Kalau tidak, dia tidak bersama dengan kita. Ini keputusan parti, ” katanya ketika ditemui media selepas Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO, hari ini.
Tengku Razaleigh berkata, BN ‘terpaksa’ menentang Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini jika tidak bersama dengan parti tersebut.
“Terpulang kepada Pas kerana kita mengambil sikap bersama dengan dia dalam Muafakat Nasional daripada awal.
“Kita tak ada kena mengena dengan PN. Oleh kerana itu kita akan lawan PN. Kalau Pas masih berada di situ, kita kena lawan lah Pas, apa nak buat?
“Tapi kalau bersama dengan kita menerusi MN, dia kena asingkan diri daripada PN. Kerana kita bukan terdiri dalam PN,” katanya.