KPDNHEP Johor lupus barang kes RM1.2 juta - Utusan Malaysia

KPDNHEP Johor lupus barang kes RM1.2 juta

Antara barangan rampasan bernilai RM1.2 juta yang dilupuskan KPDNHEP Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM1.2 juta di stor eksibit KPDNHEP Johor, Senai dekat sini hari ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, pelupusan itu melibatkan 10,861 unit barangan tiruan membabitkan 35 kes kertas siasatan yang telah selesai bagi tahun 2018 hingga 2020. 

“Kesemua barangan adalah kes rampasan melibatkan pelanggaran Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagang 2019, dan Akta Kawalan Bekalan 1961. 

“Barangan tiruan yang dilupuskan itu antaranya adalah pakaian, beg tangan, kasut, arak tiruan manakala barangan melibatkan hak cipta seperti perisian komputer, cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD).

“Kesemua barangan ini dilupuskan selepas mendapat arahan oleh pengawal dan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pihaknya menasihati peniaga agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan terutamanya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan. 

“Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak membeli barang tiruan kerana produknya tidak berkualiti selain sebagai inisiatif melindungi harta intelek pemilik asal cap dagang,” ujarnya.

Sementara itu, pengguna di Johor boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga kepada kementerian melalui talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC); call centre 1800 886 800; Enforcement Command Centre (ECC) 03- 8882 6245/6088.

“Ini termasuk nombor aduan Whatsapp KPDNHEP iaitu 019-279 4317; atau emel ke [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU dan lapor atau hadir ke mana-mana Pejabat Cawangan KPDNHEP di seluruh negeri,” jelasnya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN