KUALA LUMPUR: Semua koperasi yang terkesan dengan pandemik Covid-19 perlu mencari inisiatif baharu serta mengubah strategi perniagaan masing-masing mengikut situasi ekonomi negara.
Itu yang ditegaskan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Beliau berkata, koperasi di bawah naungan Angkasa perlu memikirkan strategi yang sesuai dan berkesan agar dapat menampung kembali kerugian sewaktu mendepani wabak berkenaan.
Katanya, koperasi-koperasi yang memberi pinjaman mungkin boleh mengehadkan jumlah pinjaman sedia ada dalam membantu meningkatkan kembali operasi mereka.
“Mereka (koperasi) juga boleh memilih industri-industri lain yang tidak terkesan semasa pandemik Covid-19.
“Koperasi yang berada dalam sektor pelancongan mungkin boleh beralih kepada sektor peruncitan dan sebagainya, katanya ketika ditemui dalam sidang media pelancaran Memorandum persefahahaman di antara Vetton dan Koperasi Yayasan Guru Malaysia Bhd. (YGMB) di sini hari ini.
Perjanjian berkenaan dirancang dengan pilihan pembayaran ansuran yang lebih lancar dan mudah bagi para ahli untuk membeli secara dalam talian melalui aplikasi Vettons.
Pembayaran dibuat menggunakan pemotongan gaji bulanan dengan menggunakan kaedah “Buy Now, Pay Later”.
Abdul Fattah berkata, berdasarkan keadaan wabak semasa, terdapat beberapa koperasi yang terkesan, tetapi, ia bergantung kepada entiti perniagaan sesuatu koperasi itu.
“Sekiranya yang terlibat itu berada dalam industri pelancongan dan perhotelan, mereka (koperasi) memang akan terkesan, tetapi, jika terlibat dalam industri peruncitan, mungkin tidak akan terkesan sangat.
“Oleh sebab itu, saya berharap mereka akan mengambil langkah strategik dalam menangani perkara ini mengikut situasi semasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE