JOHOR BAHRU: Seorang kontraktor hampir memusnahkan sebuah bom lama sewaktu menjalankan kerja-kerja merata tanah menggunakan jentera jengkaut di kawasan lapang Lorong Tenang 5, Kampung Tenang, Ulu Tiram, di sini semalam.
Polis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengesahkan objek tersebut adalah sebutir bom mortar 60 MM Illuminating setelah membuat pemeriksaan lanjut.
Menurut kenyataan itu, pihak UPB IPK Johor percaya objek tersebut dilancarkan semasa konfrontasi menentang komunis yang telah dilancarkan tetapi tidak berfungsi.
“UPB IPK Johor turut menjalankan pembersihan keselamatan bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar bebas daripada sebarang bahan letupan lain sebelum menjalankan tindakan pemusnahan bom lama itu.
“Tindakan pemusnahan bom lama itu telah dijalankan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda sekitar pukul 9.30 pagi,” kata kenyataan itu semalam.
Polis turut menyeru orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, lapor segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
“Polis Johor ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang prihatin terhadap penemuan tersebut. Diingatkan supaya jangan usik, alih atau gerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini,” jelas kenyataan itu.