Kontraktor dipenjara sehari, denda RM90,000 guna dokumen palsu - Utusan Malaysia

Kontraktor dipenjara sehari, denda RM90,000 guna dokumen palsu

ZULFADHLI Mahdir yang berdepan enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu hadir di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini. UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang kontraktor dipenjara sehari dan didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut bayaran lebih RM400,000 daripada kerajaan pada 2014 dan 2016.

Hakim Murtazadi Amran menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Zulfadhli Mahdir, 36, membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhan tersebut.

Murtazadi sebelum itu membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping untuk mengguna pakai Take Into Consideration (TIC) bagi tiga pertuduhan terakhir.

Zulfadhli kemudian dijatuhi hukuman penjara sehari serta didenda RM30,000 untuk setiap tiga pertuduhan. 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda dikenakan dan Zulfadhli membayar jumlah denda tersebut.

Dia dituduh menggunakan dokumen palsu iaitu surat bayaran bagi program dan aktiviti pelancongan pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Kedah berjumlah RM409,939 dari 9 Jun 2014 hingga 28 Januari 2016.

Ia antaranya melibatkan tuntutan menyewa khemah dan peralatan majlis untuk beberapa program termasuk pesta Songkran, menyewa gelanggang Muay Thai dan pengangkutan untuk perkhidmatan menyediakan pengangkutan sempena Pesta Air Langkawi 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri di sini.

Pendakwaan dikendalikan Sew Ping mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Aizat Fakri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya