Kontena dari AS bawa sisa plastik dipantau - Utusan Malaysia

Kontena dari AS bawa sisa plastik dipantau

TUAN Ibrahim Tuan Man (tengah) pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pihak berkuasa Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan akan menahan sebuah kontena dari Amerika Syarikat (AS) yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik sebaik sahaja dikesan tiba di pelabuhan tersebut hari ini.

Kapal tersebut yang berlepas dari Los Angeles pada 14 Februari lepas dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung satu kontena dari Los Angeles yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Menurut beliau, kerajaan akan bertindak untuk menghantar semula kontena berisi plastik haram berkenaan ke negara asal kerana tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik tersebut diterima dari negara pengeksport.

“Kita telah arahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut.

“Kita telah menghubungi pihak pelabuhan agar tidak melepaskan kapal yang membawa kontena tersebut dan JAS selaku ‘Competent Authority’ bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2021,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa hadir pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di sini.

Sementara itu, kata Tuan Ibrahim, semakan dengan pihak berkuasa LPK pula mendapati kapal berkenaan masih belum tiba.

“Pihak berkuasa masih memantau ketibaan kapal ini termasuk dengan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena tersebut.

“Sebaik sahaja tiba, kita akan jalankan pemeriksaan bersepadu JAS, JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi semakan dokumen dan pemeriksaan fizikal,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya