Pengambilan khas konstabel : longgar syarat kredit BM - Utusan Malaysia

Pengambilan khas konstabel : longgar syarat kredit BM

RAMLI Din dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.-UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Syarat perlu memperoleh kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada mana-mana calon bukan bumiputera dan orang asli bagi memohon jawatan Konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dilonggarkan.

Pelonggaran syarat bagi pengambilan khas kali ini, membolehkan mana-mana calon yang tidak memperolehi kredit memohon untuk menjadi polis.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kelonggaran itu bagi membolehkan lebih ramai bukan Bumiputera menyertai PDRM pada pengambilan khas yang dibuka mulai 18 hingga 31 Mac ini.

Kata beliau, bagaimanapun sekiranya mereka melepasi temuduga dan dilantik, individu terbabit perlu mengambil semula matapelajaran Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh enam tahun.

“Pemohon bukan bumiputera yang pernah membuat permohonan sebelum ini perlu membuat permohonan baru, keutamaan diberikan kepada pemohon yang boleh bertutur dan menulis dalam Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan lain-lain bahasa ibunda.

“Permohonan warganegara Malaysia bukan bumiputera bagi jawatan Konstabel Polis Gred YA1 lelaki dan wanita boleh dibuat melalui laman sesawang di https:/epengambilanpdrm.rmp.gov.my,”katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Dalam pada itu, kata Ramli, pemohon juga perlu memenuhi syarat-syarat lain antaranya kelayakan fizikal iaitu tinggi sekurang-kurangnya 163 sentimeter (cm) bagi lelaki manakala wanita (157 cm)

“Berat badan bagi lelaki hendaklah sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) dan 48 kg bagi wanita manakala mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) diantara julat 19 hingga 26.

“Pemohon yang sudah membuat permohonan akan dipanggil ke sesi temuduga yang akan di adakan di bandar-bandar besar di seluruh negara,”jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya turut mengadakan pengambilan khas bagi orang asli untuk menyertai PDRM.

“Bagi pengambilan khas orang asli semua jawatan iaitu Inspektor Polis Gred YA13, Konstabel Polis YA1, Konstabel Polis Orang Asli Gred YP1 dan Konstabel Polis Gred YT1 terdapt pelonggaran syarat bagi ketinggian iaitu 160 cm bagi lelaki dan 155 cm bagi wanita,”katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN