SEREMBAN: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang mengadakan mesyuarat semalam memutuskan bahawa Kongres Kebangsaan DAP akan diadakan pada hari Ahad, 20 Jun depan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kongres pada kali ini juga akan diadakan secara serentak di tiga lokasi iaitu di Shah Alam, Selangor, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Jelasnya, langkah tersebut bertujuan untuk memudahkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri kongres di negeri masing-masing.
Tambahnya, selaras dengan kehendak Perlembagaan parti, notis rasmi berkenaan kongres tersebut akan dihantar kepada semua cawangan parti 10 minggu sebelum tarikh kongres.
“Segala proses penamaan calon untuk pemilihan ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat akan diadakan semula.
“Ibu pejabat DAP juga akan melantik sebuah syarikat audit bebas untuk mengendalikan proses pemilihan pada hari kongres tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, DAP membuat permohonan agar kongres parti itu yang sepatutnya berlangsung sebelum hujung tahun lepas, ditangguhkan sekurang-kurangnya enam bulan ekoran penularan Covid-19 yang membimbangkan.-UTUSAN ONLINE